Pengajaran dan pembelajaran Matematik seharusnya berlandaskan kepada sifat Matematik secara semula jadi yang menggalakkan pembelajaran yang bermakna dan mencabar pemikiran. Bagi menghasilkan pengajaran dan pembelajaran Matematik yang berkesan, aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran perlu menyediakan ruang untuk murid dan guru berinteraksi secara aktif. Sekiranya murid didedahkan kepada pelbagai pengalaman pembelajaran seperti meneroka, menyiasat, menaakul secara logik serta menggunakan pelbagai kaedah dan strategi penyelesaian secara berkesan, mereka dapat menguasai Matematik dengan baik.
Komunikasi dalam Matematik pula adalah merupakan salah satu aspek yang perlu diberi penekanan penting. Komunikasi yang berkesan membantu murid memproses maklumat dan pengetahuan yang diperolehi dengan lebih bermakna. Komunikasi juga dapat membantu guru menilai tahap kefahaman dan kelemahan murid. Komunikasi boleh berlaku antara :
- guru dengan murid,
- murid dengan murid,
- murid dengan dirinya sendiri
- murid dengan bahan
Komunikasi akan menjadi lebih bermakna dan efektif jika guru dan murid dapat mengoptimumkan proses mendengar, visualisasi, membaca dan perlakuan semasa pengajaran dan pembelajaran berlangsung.
Haji Abdul Latif bin Amran
FasiLINUS Numerasi
PPD Kota Tinggi