PAGOH - Kerajaan tidak pernah mempersoalkan kesetiaan guru, tetapi mahu mereka terus komited membantu melaksanakan dasar kerajaan ke arah pembangunan pendidikan negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan perdana menteri berkata, kerajaan diberi mandat oleh rakyat untuk mentadbir negara dalam melaksanakan pelbagai dasar pembangunan bidang pendidikan negara.
Sehubungan itu katanya, peranan dan komitmen guru penting bagi membantu kerajaan mencapai empat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) berkaitan sektor pendidikan.
“Saya mahu guru setia kepada negara dan bersama menyokong dasar pembangunan pendidikan yang dilaksanakan kerajaan pada masa ini. Guru adalah penggerak utama dalam masyarakat, masih dihormati dan menjadi pemimpin dalam masyarakat.
“Kita (kerajaan) mahu bersama guru dan kerajaan, sentiasa ada. Kita mahu bersama mamikul tugas dan tanggungjawab untuk membangunkan negara ini hingga berjaya,” katanya pada Majlis Pelancaran Program Bangkit Guru Untuk Negara (B-GUN) Johor di Dewan Seri Pekembar, di sini, semalam.
Petikan dari Berita Minggu pada Ahad 23 Januari 2011 - muka surat 4